The Writer: Tiang terakhir

Tiang terakhir

            Perperangan ini bukanlah sesuatu yang baru. Sudah lama berlaku dan seharusnya dunia sudah lali dengan perkara yang sama. Tapi mungkin fitrah manusia suka pada sesuatu yang menyeksakan. Bila nafsu membutakan mata, kebenaran terlindung dengan baik darinya. Menafikan dengan tegas meskipun datang bersama bukti yang nyata. Manusia punya akal tetapi ternyata masih bodoh dalam membuat keputusan melainkan mereka yang berpegang teguh dengan tali kebenaran.
            Semakin tua dunia, semakin kejam hukuman kepada mereka yang bergantung pada tali kebenaran. Seumpama mereka ini berada dijalan yang salah sedangkan kebenaran itu adalah perkara benar yang harus dipertaruhkan dengan nyawa. Berpantang mengalah sebelum ajal. Tapi sejauh mana kebenaran akan terus ditentang? Dan sejauh mana pula kebenaran mampu dipertahankan? Bila jarum-jarum sumpah durjana mereka menusuk ke dalam lubuk hati yang paling lemah. Menikam dan meracuni setiap satu dari tiang-tiang akhir yang goyah.
            Sudah lebih 1400 tahun kebenaran dipalsukan, dinafikan kebenarannya. Diperdaya dengan nota-nota songsang ciptaan kotor tangan manusia. Penipuan paling jelas tapi masih ada yang gagal. Mampukah tiang-tiang terakhir dipertahankan? Mereka menganggap kami lemah seluruhnya kerana sebahagian yang gagal daripada kami. Tetapi mereka lupa masih ada tiang-tiang kukuh antara kami yang sedang bangkit mempertahankan kebenaran.
            Tidak! Kami tidak menentang mereka. Kami cuma mempertahankan hak kami. Tapi mereka mampu mengaburkan mata dunia hingga kami dianggap pembunuh utama. Agenda terlindung sang boneka nafsu. Mereka sangka mereka akan berjaya dengannya? Hanya di dunia, bagaimana akhirat dan seterusnya? Bukan aku tertawakan kerana aku juga masih tidak pasti haluan. Cuma kecewa, jalan benar sudah ada depan mata. Bukti juga sudah nyata. Tapi mengapa masih enggan menerima? Kerana rapuhnya jiwa? Kerana takut kehilangan dunia? Apa sebabnya? Aku buta memahami sebab mereka. Mungkin lebih baik begitu.
            Seandainya aku cuba fahami dan aku tersalah percaturan. Agenda itu akan menarikku mendekatinya. Agenda itu penuh muslihat terlindung. Aku tidak membenci mereka. Aku benci agenda itu kerana aku tahu manusia tidak ada yang jahat sedari lahir. Cuma mereka tersalah pilihan, tidak mampu menahan godaan dan lemah dalam keyakinan. Syukur. Masih aku dipertahankan sebagai tiang terakhir perjuangan.
            Jadi sebelum aku masuk dalam peperangan. Jiwa! Kau harus terus gagah kerana aku tidak boleh lemah. Perjuangan ini sudah berlanjutan lebih 1400 tahun dan akan berterusan hingga ke pengakhiran. Aku mahu jadi panglima gagah yang mempertahankan kebenaran. Tiang terakhir yang akan roboh menyembah bumi. Biar aku jadi tiang terakhir yang penuh dengan luka. Biar aku jadi tiang terakhir yang harus berdiri kukuh sehingga akhir waktu. Aku mahu jadi yang terakhir tamat bersama perjuangan ini.
                                                                                                               Catatan LYA   May 2021

Antarcity                                                                                                                     July 2021
Helaian terakhir buku itu dihabiskan bersama air mata. Dia sendiri tidak pasti untuk kali keberapa titisan jernih itu menyapa pipinya. Sendirian membaca tulisan ‘yang tersayang’ membuatkan dia tidak mampu menahan air mata lelakinya dari gugur. Terlalu kukuh keyakinan ‘yang tersayang’ pada kepercayaan dirinya. Yakin benar, dia berada dijalan kebenaran, mengapa?
Benarkah dia berada dijalan kebenaran? Dan selama ini si pembaca tersalah langkah? John menatap lama lembaran terakhir tersebut. Padanya ini satu kenangan terakhir buat dirinya kepada ‘yang tersayang’ itu. Setelah beberapa ketika mereka berjaya berselindung dari dunia tentang hubungan rahsia mereka, kegagalan menguji diri. Pembongkaran tentang hubungan mereka menyebabkan ‘yang tersayang’ dirinya menjadi mangsa. Jika benar dia berada dijalan yang betul mengapa mereka dengan tegas menghapuskan Alyaa? Kesalahan apa yang telah dia lakukan? Menyayangi yang berbeza pandangan? Atau kerana dia bertegas dengan keyakinan hatinya? Salahkah?
John terkaku lama. Mereka dengan yakin berkata Alyaa harus dihapuskan untuk menyelamatkan kaum mereka dari kepupusan. Alyaa dilihat sebagai musuh. Sedangkan Alyaa tidak pernah melihat mereka sebagai musuh sebaliknya peluang untuk teruskan perjuangan. Peluang untuk mencipta kekuatan. Dia tahu Alyaa benci benar pada peperangan yang tidak berkesudahan ini, tapi dia tidak pernah benci pada si pelakunya. Dia benci pada perbuatan si pelaku yang terpesong dari kebenaran.
Menurut Alyaa, setiap manusia tidak sempurna bahkan tidak akan pernah mampu menjadi sempurna. Maka kejadian ini berlaku atas kesilapan dalam sebuah pilihan. Katanya, setiap yang baru menyertai kebenaran, mereka seumpama bayi yang baru dilahirkan. Suci dari dosa-dosa lalu yang hitam menapung diri. Bila menyertai kebenaran mereka seumpama baru selesai bersuci, bersih dari daki-daki kotor yang dibenci.
Jika benar selama ini komunitinya berada dalam kebenaran kenapa fikiran mereka ternyata bertentangan dari minda normal manusia? Fitrah manusia mana yang menyukai pembunuhan? Mereka kata Alyaa adalah racun yang terlindung. Pengakhiran ini perlu bagi dirinya. Penipuan apa lagi kali ini yang mereka cuba lontarkan pada dirinya bila matanya ternyata sudah terbuka?
“John? Jauh termenung. Apa yang sedang kau fikirkan?” Thomas menghampiri lantas menegur lembut John dalam bahasa ibunda mereka.
“mencari kebenaran Thom. Aku masih keliru tentang banyak perkara.” John menundukkan wajah. Melindungi kegalauan hati yang dia tahu terserlah padanya.
“kebenaran apa lagi? Aku bimbang nasib kau akan sama seperti dia.” Thomas meluahkan kerisauannya.
“Kau yakin pada aku kan Thom? Apa jua keputusan aku, kau percaya pada aku kan?” John meminta kepastian. Jika Thomas tidak benar-benar mempercayai dirinya dan kebenaran yang dia cari terbongkar maka nasibnya akan serupa.
“Kau betul-betul cintakan dia begitu sekali? Hingga kau sanggup mengabaikan kehidupan kau?” Thomas ragu dengan keputusan rakannya. Hidup bersama John sejak kecil membuatkan dia terlalu sayang pada John. Seumpama abang dan adik meskipun hubungan darah bukanlah pengikat mereka. John merenung lama tanah hijau dilitupi rumput tebal.
“Thomas, jika mereka berada dijalan salah, mengapa mereka masih kukuh mempertahankan kepercayaan mereka? Jika mereka berada dijalan yang salah kenapa tidak kita betulkan mereka? Bukan hapuskan mereka. Ini salah. Sekarang beritahu aku, mereka yang salah atau kita?” Panjang lebar John menerangkan keyakinannya.
Thomas terkaku lama. Ucapan John membuka ruang mindanya sedikit. Akal logiknya berfikir jauh. Ada benarnya kata-kata John. Dia juga sebenarnya sudah lama ragu dengan tindakan komuniti mereka. Cuma terlalu takut untuk disuarakan.
“John, carilah kebenaran. Aku akan sentiasa yakin dengan apa juga keputusan kau. Bila kau temui kebenaran, aku akan menurut kau.” Thomas tersenyum sambil menepuk bahu John beberapa kali. Menyampaikan keyakinannya secara fizikal. John tersenyum hambar. Keyakinan Thomas adalah gerbang terbuka untuk dia melangkah keluar dari kotak pemikiran jumud komunitinya. Ertinya perjalanan panjangnya akan bermula disini, saat ini. John bangun perlahan-lahan.
“Aku akan bertolak segera. Aku tak pasti tentang masa depan. Jadi sebaiknya aku ucapkan selamat tinggal terlebih dahulu.” John bersuara sayu. Biar tak tergambar diwajah, nada suaranya sudah cukup menjelaskan perasaannya.
“Jangan begitu John. Kau mesti balik untuk bagi tahu aku kebenaran.” Thomas mulai bimbang. John tersenyum kelat.
“Mati itu pasti hidup in shaa Allah.” John menyebarkan keyakinannya. Kata-kata Alyaa setiap kali John berasa bimbang tentang keselamatan dirinya. Kata-kata itu hadir dalam buku novel kegemarannya. Sepuluh tahun yang lalu buku tersebut popular di negaranya. Coretan penulis berbakat besar negaranya, Ramlee Awang Murshid. John sendiri menjadi saksi kebenaran kata-kata Alyaa dan kini dia juga yang turut meminati penulis legenda itu.


Thomas menjadi kurang senang mendengar bait-bait akhir John sebelum lelaki itu berlalu masuk ke dalam rumah. Susuk tubuh jejaka itu dipandang lama hingga hilang dari pandangan. Hatinya berdetak penuh debaran. Bagaimana jika ini yang terakhir kalinya dia melihat teman baiknya itu? Thomas tidak mahu membayangkannya.

(bersambung)

No comments:

Post a Comment

Copyright © The Writer Urang-kurai