The Writer: Jika masih ada

Jika masih ada

Kegelapan menyelubungi suasana. Sunyi, bisu tanpa suara. Azra memandang sekelilingnya bersama mata yang masih basah oleh air mata. Esakannya masih belum berakhir.
        "Tolong beri aku peluang untuk ubah semua! Tolonglah!!" jeritannya bergema. Tapi tiada sebarang respon diterima. Masih kesunyian menguasai suasana. Azra memejam rapat matanya. Air mata berlinang dibiarkan tanpa diseka. 'Kalaulah aku boleh ubah semua. Kalaulah masih boleh kembali semula. Kalaulah semuanya boleh diubah. Bodohnya aku tak mampu lihat semua ni dulu. Aku sia-siakan hidup aku. Aku buta melihat kenikmatan tuh. Aku tak tahu bersyukur. Ya Allah. Tolong beri aku peluang untuk kembali. Aku ingin berubah.'
         Tiba-tiba tubuhnya terasa sejuk seperti membeku sebelum tubuhnya bercahaya. Semakin lama semakin terang. Menyilaukan. Dadanya terasa sesak.
         "Aaaaaahhhhh!!!" Azra menjerit nyaring. Kesakitan yang menyerang jantungnya kini menular keseluruh tubuh. Badannya jadi lemah sepenuhnya secara mendadak. "Aaaarrrggghhhhhh!" tidak mampu digambarkan kesakitan yang menimpa. Dia kini nyawa-nyawa ikan.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah. 2 AM

         "doktor, paras denyutan jantung pesakit naik secara tiba-tiba." Seorang wanita berbaju putih bersuara sebaik sahaja doktor Zairi melepasi pintu wad. Kecemasan, label yang terpapar atas pintu cukup untuk mengambarkan tujuan bilik itu wujud.
        "blood pressure?" Zairi bersuara tegas.
        "beberapa minit lalu normal sekarang berada diparas rendah." wanita itu kembali bersuara.
        "pulse rate?" sekali lagi dua patah perkataan saja terluah tapi membawa makna penting yang memerlukan penjelasan panjang.
        "high" wanita itu menjawab sepatah.
        "Supply oxygen. Kita akan cuba yang termampu." Kata-kata akhir dari doktor lelaki tersebut cukup untuk memberitahu anak-anak buahnya bahawa keadaan sekarang sudah melepasi paras normal. Lampu pada label "kecemasan" tersebut menyala menandakan operasi menyelamat sedang dijalankan. Mashitah dan Zakaria hanya mampu terduduk lesu dihadapan bilik ngeri tersebut dengan doa-doa panjang yang bagaikan tiada penghujung. Jiwa mereka gelisah. Pada mereka ini semua kesalahan mereka. Kalaulah mereka lebih prihatin tentang Azra. Kalaulah mereka ambil tahu tentang anak gadis mereka walaupun Cuma sementara, ini semua takkan berlaku. Semuanya salah mereka. Kalaulah semuanya masih mampu diubah. Kalaulah. Tapi kalau cuma harapan palsu tanpa usaha. Cuma untuk menyedapkan hati yang gundah. Mereka hanya mampu menanti bersama doa.

Villa Kesukma 11 PM

        Matanya terpejam rapat, membuang segala rasa gemuruh yang bertandang. Gelisah jiwanya ternyata sudah menguasai mindanya dari bertindak rasional. Kewarasan sudah pergi jauh meninggalkannya sendiri tanpa sebarang penyelesaian. Seketika pandangan dilontarkan kebawah. Gerun. Tapi mungkin, mungkin itu sahaja penyelesaiannya. Atau… masih adakah cara lain? Belum sempat soalan dijawab, kakinya sudah menghumban dirinya terbang tanpa memijak bumi.
       " Dummm".. Lantai beku menyambut tubuhnya kasar. Darah merah pekat mengalir laju. Membasahi lantai marmar putih, menukar warnanya menjadi separa merah. Beberapa minit seterusnya seorang wanita berumur dalam linkungan 40 tahun keluar dari rumah menuju ke tempat kejadian. Dalam keadaan terkejut dia hanya mampu menjerit lantang.
       "DAUD!!!! DAUD!!! Cik Azra DAUD!!... DAUD cepat!!!" Wanita tadi terlompat-lompat gementar. Dia berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah memanggil lelaki bernama daud. Tetapi terhenti langkahnya saat matanya menangkap susuk tubuh lelaki tersebut sedang menghampirinya. Masih berkain pelekat dia berlari menuju ke arah wanita tersebut.
        " Ya Allah Azra! Milah cepat telefon ambulans CEPAT!!" Dalam keadaan kelam kabut. Wanita bernama Milah tadi segera kembali ke dalam rumah dan melaksanakan arahan yang diberi. Daud menghampiri Azra seraya menyentuh tubuh lemah Azra. Darah mengalir laju dari kepala, mulut serta hidungnya. Tarikan kuat graviti bumi mencipta hentakan kuat keatas tubuh kecil itu. Gadis berusia 15 tahun itu kaku tanpa sebarang reaksi. Leher gadis tersebut disentuh mencari punca nadi. Dalam hatinya Daud berdoa semoga masih ada degupan pada nadi anak kecil itu. Dia terlalu muda untuk pergi dahulu. Walaupun dia sedar bila ajal sudah tiba, muda atau tua cumalah gambaran umur dunia.
         Beberapa minit kemudian ambulans datang membawa tubuh lemah tersebut pergi ke sebuah tempat bernama hospital. Daud dan Milah turut sama memandangkan mereka saat ini mengambil alih menjaga anak majikan mereka itu. Azra dimasukkan ke wad kecemasan. Keadaan semakin serius. Daud meminta Milah untuk menunggu di ruangan menunggu di bilik kecemasan tersebut sementara dia segera menelefon kedua-dua majikannya. Berita yang diterima menggemparkan kedua-duanya hingga mesyuarat larut malam mereka terhenti tanpa sebarang pertikaian. Kedua-dua ibubapa Azra bekejar ke hospital tersebut secepat mungkin. Tiba di ruangan hospital, mereka mencari wajah Daud dan Kamilah.
         " Daud macam mana Azra?" Belumpun sempat duduk, persoalan sudah laju meluncur keluar dari mulut Zakaria.
         "Tuan sepuluh minit tadi Azra baru dimasukkan doktor kata kecederaan dia agak serius. Sekarang mereka tengah cuba selamatkan Azra. Tuan saya mintak maaf sebab tak jaga Azra dengan baik. Saya mintak maaf!" Daud merasa kesal. Padanya kesalahan ini adalah disebabkan oleh dirinya. Jika dia lebih prihatin tentang Cik Azra sudah tentu ini semua tidak akan terjadi.
         "Sabar Daud ni bukan salah awak. Kita tunggu keputusan doktor dulu. Sekarang kita doa untuk keselamatan Azra. Sekarang bukan masa salahkan diri sendiri." Daud sekadar mengangguk. Zakaria mengalih padangannya ke arah isterinya. Dilihat isterinya sudah menangis teresak-esak sambil dipeluk erat oleh Kamilah. Keluhan berat terluah dari rengkungan halkumnya. Berat. Terlalu berat. Hingga terasa tidak mampu ditanggung olehnya. Lampu kecemasan pada label wad tersebut masih lagi menyala menandakan operasi menyelamat masih lagi dijalankan. Zakaria terduduk lesu. Lelahnya dari tempat kerja masih belumpun surut kini ditimpa pula dengan berita berat sebegini. Jiwanya kacau. Tanpa dia sedari air matanya gugur. Rasa bersalah menebal dalam jiwanya. Ini semua satu kesilapan. Kesilapan dirinya. Dia menggeleng-geleng perlahan.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah. 3 AM

         Pintu bilik kecemasan itu terbuka sedikit. Bersama bukaan tersebut muncul satu susuk tubuh melangkah keluar dari bilik tersebut. Tidak dapat dipastikan jantinanya oleh kerana topeng muka yang menutup sebahagian wajahnya. Dia melangkah menghampiri Zakaria, Mashitah, Kamilah dan Daud yang sedang menanti penuh debaran. Kala ini sepatutnya mereka sudah dibuai mimpi-mimpi indah sementara menanti mentari esok muncul bersama sinarnya yang baru. Tapi hari ini sinar mentari itu seakan enggan keluar dari tempat persembunyiannya. Masa menjadi terlalu panjang buat mereka yang sedang gemuruh menanti keputusan dari pihak hospital.
          "Anak Puan dan Tuan selamat. Tapi..." Mashitah dan Zakaria berdebar menanti keputusan doktor. Ayat yang terluah merasakan seperti sinar tetapi masih belum cukup cerah.
          "tapi?" Mashitah menyampuk. Dia tidak mampu bertahan lama menanti kata-kata seterusnya yang gagal keluar dari mulut doktor tersebut.
          "Tapi dia masih belum sedarkan diri atau mungkin tidak mampu sedarkan diri untuk beberapa ketika. Kami tak mampu nak pastikan sampai bila. Tapi kami akan cuba sebaik mungkin. Buat masa ni, saya rasa lebih baik kita tempatkan anak puan dalam wad jagaan rapi sebab anak puan baru saja melepasi tahap kritikal." Penerangan ringkas dari pada doktor tersebut terasa melegakan. Walaupun keadaan Azra masih belum dapat dipastikan sekurang-kurangnya dia sudah melepasi tahap kritikal. Mashitah melutut layu. Bahunya dipaut kuat oleh Kamilah.
          "Saya nak anak saya ditempatkan dalam bilik VIP. Saya nak anak saya dijaga sepenuh masa." Zakaria bersuara tegas. Dia cuba memilih yang terbaik untuk anaknya. Dia sanggup berhabis duit asalkan anaknya berjaya diselamatkan dan kembali sihat seperti selalu.
          "Saya akan pastikan anak tuan dijaga oleh nurse setiap masa untuk elakkan sebarang kejadian tak diingini. Saya harap tuan boleh bersabar." Doktor lelaki tersebut menghabiskan perbualan mereka dengan sedikit ayat motivasi walaupun dia sendiri tidak pasti apakah nasib pesakitnya itu. Tapi dia juga berharap pesakitnya mampu bertahan dan sembuh dengan cepat. Dia berlalu ke arah kaunter untuk menyelesaikan baki tugasan yang tertinggal. Beberapa minit kemudian sebuah katil beroda ditolak keluar dari bilik kecemasan tersebut. Diatasnya terkulai layu tubuh kecil Azra yang menutup rapat matanya seumpama sedang tidur. Kepalanya yang luka dibalut rapi namun masih mampu dilihat darah yang pekat merah melekat pada balutan tersebut. Mashitah menangis lagi. Kali ini entah untuk kali keberapa. Tubuh Azra dialih tempat kesebuah bilik persendirian atas permintaan Zakaria. Mereka mengikut saja kemana arah katil tersebut ditolak.

Dunia kembara

          Kesejukan terasa menyentuh tubuhnya yang terbaring lesu. Terasa tajam mencucuk. Tangannya disentuh perlahan tapi tidak mampu merasai apa-apa. Matanya cuba dibuka. Terasa berat tapi tetap dipaksa. Akhirnya bukaan kecil menjadi besar. Seraya bangun dari baringannya dia memandang sekeliling. Kosong dan gelap. Tiada segaris cahaya pun yang wujud. Ketakutan terasa menjalar menyerang sanubarinya. Degupan jantungnya terasa berdetak laju seumpama berlari. Sekali lagi sekelilingnya diperhati teliti. Mencari sebarang kewujudan makhluk disitu. 'Aku dah mati ke?' Suara hatinya mengumam. 'Ini tempat apa? Kubur?' Persoalan menerjah fikirannya tapi tidak dijawab oleh sesiapa.
          "Aku masih keliru. Kenapa kau buat benda bodoh ni?" Satu suara lantang menyerang pengdengarannya. Jantungnya berdegup lebih laju. Terasa menyesakkan. Azra terundur-undur kebelakang. Cuba menjauhi arah datangnya suara tersebut. Matanya liar memandang sekelilingnya. Suara apakah itu?
          "Sekarang baru tahu rasa takut? Masa kau cuba bunuh diri tuh tak takut pulak." Sekali lagi suara itu lantang menyindir dirinya. Dia memberanikan diri membalas.
"Kau sapa? Syaitan? Malaikat? Jin? Aku kat mana ni?" Tubuhnya mengigil. Dari suaranya kedengaran getaran ketakutan.
          "Kenapa? Kau takut ke? Siapa aku tuh tak penting. Kau kat mana? Masih nak tanya? Hahahahaha. Jangan risau kau tak mati lagi. Ini dunia pertengahan yang mana aku panggil dunia mimpi. Kau dalam keadaan tak sedarkan diri. Jadi kau sekarang dalam dunia aku! Dunia yang aku akan pastikan kau menyesal dengan semua perbuatan kau ni!!" Dari satu arah gelap muncul satu susuk tubuh kecil. Seorang gadis belasan tahun, mungkin sama umur dengannya atau mungkin lebih tua daripadanya Azra tidak pasti yang dia pasti tubuh tersebut tidak dikenali. Tubuhnya mengigil saat matanya menatap wajah gadis itu. Bengis bersama segaris senyuman menyindir. SIAPA DIA??

Bersambung...


No comments:

Post a Comment

Copyright © The Writer Urang-kurai